...meniti pengalaman mencari tenang...* sepanjang jalan yang penuh dengan bunga sakura...

- Ya Allah,jangan biarkan aku sendirian walaupun sekelip mata....

Friday, December 02, 2005

Siti Nurhaliza

Saya sudah sedia untuk berkahwin - Siti
Oleh Arshad Khan dan Ali Mahmood
MARAN 1 Dis. - Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Taruddin kini bersedia sepenuhnya untuk mendirikan rumah tangga dan berharap menemui lelaki yang bijak serta beriman sebagai pasangan hidupnya.
Penyanyi yang kini mencecah usia 26 tahun itu berkata, dia juga bersedia menerima mana-mana lelaki yang benar-benar menyintainya dan memenuhi kriteria seorang suami misali yang diinginkan.
Ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di sini hari ini, Siti Nurhaliza memberitahu, sudah tiba masanya dia mendirikan rumah tangga dan memiliki sebuah keluarga bahagia seperti idaman kebanyakan wanita.
``Kini Siti menanti siapakah lelaki yang bakal bergelar suami itu, tetapi Siti percaya bila tiba masanya nanti Siti akan bertemu pasangan juga kerana pertemuan, ajal, jodoh dan rezeki ditentukan oleh Tuhan.
``Seperti orang lain, Siti juga mengimpikan lelaki yang bergelar suami itu mestilah seorang yang beriman dan bertanggungjawab serta satu lagi syarat tambahan, yang penting dia mesti seorang yang bijak,'' katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah Srikandi Seni di Pekan Tajau, dekat sini.
Menurut Siti Nurhaliza, dia mementingkan seorang suami yang bijak kerana sebagai ketua keluarga, lelaki memainkan peranan penting bagi menentukan perjalanan dan keharmonian sesebuah rumahtangga.
Walaupun sebelum ini penyanyi itu hangat digosipkan bercinta dengan Zamani, Ramli M.S, Fazley, Anuar Zain dan terbaru dengan Datuk K, dia enggan mengesahkan lelaki yang menjadi pilihannya.
Sebaliknya, kata Siti Nurhaliza, kisah percintaannya dengan Datuk K yang hangat sebelum ini hanyalah gosip semata-mata dan menjadi sebahagian daripada asam garam kehidupan dunia hiburan.
Ditanya sama ada dia bimbang sekiranya popularitinya menurun jika dia berkahwin kelak, Siti Nurhaliza berkata, dia yakin peminat kini bijak untuk menilai antara bakat dan glamor.
``Saya yakin akan terus diterima walaupun sudah bergelar isteri, asalkan saya terus dapat melahirkan album yang berkualiti dan memenuhi citarasa peminat seni hari ini.
``Selagi peminat dapat menerima kehadiran saya, selagi itulah saya akan terus menyanyi dan menerbitkan album,'' katanya.
Mengenai publisiti yang semakin berkurangan, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mengakui hakikat tersebut kerana dia terlalu sibuk menguruskan syarikatnya, Siti Nurhaliza Production (SNP) dan sedang membuat persiapan untuk memasuki studio bagi menerbitkan album terbarunya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home